KUCHING: Dasar inklusif Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengukuhkan lagi perpaduan dan keharmonian hidup rakyat Sarawak sungguhpun dalam kepelbagaian, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata, Abang Johari menghormati, menyokong dan menggalak rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama supaya saling hidup bersatu.
Penubuhan Unit Untuk Agama-agama L:ain (UNIFOR) mencerminkan keikhlasan dan kesaksamaan kepimpinan Abang Johari, katanya berucap pada majlis makan malam dianjurkan oleh UNIFOR bagi meraikan rombongan dari International Advisors of United Partnership in the Gospel atau USPG di sini, malam tadi.
Rombongan itu dari Ghana, England, Botswana, Namibia, Kadana, India dan Wilayah New Zealand termasuk Polynesia dan Samoa.
Rombongan itu diketuai Setaiusaha Agungnya, Rev. Dr. Duncan Dormor. Hadir sama Bishop of Kuching, Datuk Danald Jute.
Uggah menegaskan, Abang Johari adalah penyokong kuat UNIFOR sejak 2017 dalam melindungi dan menjaga kepentingan setiap agama dan kaum.
Abang Johari sentiasa menyediakan peruntukan untuk UNIFOR dan tahun lalu memperuntukkan sebanyak RM100 juta dan tahun ini menambahkan peruntukannya kepada RM110 juta, katanya.
UNIFOR membelanjakan lebih RM333.12 juta untuk membina gereja dan kuil baharu dari 2017 hingga 2022, kata Uggah dan menambah, Abang Johari turut memluluskan RM20 juta tahun lalu untuk membantu sekolah mubaligh di seluruh negeri.
Dari 2021 hingga tahun lalu, katanya, UNIFOR membelanjakan RM50 juta untuk membantu membaikpulih 127 sekolah mubaligh.
Satu lagi manifestasi dasar inklusif Abang Johari ialah dengan penubuhan sembilan agensi pembangunan wilayah meliputi setiap kawasan di negeri ini untuk manfaat rakyat, katanya.
Menurut Uggah, setiap agensi pembangunan itu diperuntukkan RM1.5 bilion untuk membangunkan nfrastruktur asas bagi menjana kegiatan ekonomi untuk rakyat.
Dr. Duncan dalam ucapan aluannya menzahirkan rasa kagum dengan usaha dilaksanakan oleh UNIFOR dan boleh dijadikan contoh untuk memupukan keharmonian kaum dan agama.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Sim Kui Hian dan Timbalan Menteri Perumahan, Kesihatan Awam dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil.